MELAKA: Golongan wanita terutama graduan bidang teknikal mampu menguasai bidang keusahawanan teknikal dengan menerokai ruang dan peluang pasaran yang wujud dalam sektor tersebut.

Penerima anugerah ikon Keusahawan Pemasaran Digital Wanita sempena Konvensyen Keusahawan Teknikal Wanita (WTC) 2022 Ume Nur Ashikien M. Azhar, 29, berkata ini termasuklah menggunakan sebaiknya semua platform media masa yang wujud ketika ini seperti Tik Tok, Facebook dan Instagram.

"Platfom sedia ada sangat banyak dan untuk itu golongan wanita jangan terhadkan perspektif anda untuk menjadi usahawan teknikal," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Konvensyen Keusahawan Teknikal Wanita (WTC) 2022 di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di sini pada Khamis.

Konvensyen selama dua hari bermula semalam yang dihadiri hampir 1,000 usahawan wanita dari pelbagai bidang itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan ia turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin dan Exco Hal Ehwal Wanita, Datuk Kalsom Nordin.

Bagi pemenang pertandingan reka cipta dron Nor Zahirah Zulkifly, 24, tiada yang mustahil bagi golongan wanita untuk bersaingan dalam bidang teknikal termasuk menjadi usahawan berkaitan dron.

"Sebenarnya banyak lagi (ruang) yang boleh diterokai dalam teknologi dron, dan paling utama jangan rasa malu dan takut. Kita boleh saja belajar dan menjadikannya sebagai satu bidang perniagaan," katanya.

"Bidang technicprenuership atau teknousahawan iaitu perniagaan bersandarkan pada kemahiran RTVET ini jarang didengar namun ia berupaya menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan teknikal wanita," katanya.

Katanya walaupun rekod penyertaan kaum wanita dalam bidang professional dan teknikal pada 2021 adalah 41.5 peratus berbanding 58.5 peratus kaum lelaki, ia masih satu indikasi positif kepada kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam usaha merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan graduan TVET di negara ini.

-- BERNAMA