Hasrat seorang peniaga dalam talian untuk menjual penutup hidung dan mulut tidak kesampaian malah kerugian RM108,300 selepas ditipu seorang wanita yang menawarkan barangan berkenaan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa wanita yang berusia 34 tahun menempah penutup hidung dan mulut itu daripada suspek dari Pulau Pinang menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 April lepas.

"Mangsa kemudian membuat tempahan sebanyak 2,700 kotak penutup hidung dan mulut yang setiap satu berharga RM40.

"Bermula 10 April lalu hingga 19 April lalu, mangsa membuat sembilan kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan RM108,300," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek mendakwa barangan itu akan dihantar ke rumah mangsa di Felda Keratong di sini dengan menggunakan lori dan jangkaan tiba pada Isnin lalu.

"Namun, sehingga semalam, penutup hidung dan mulut berkenaan masih belum diterima selain gagal menghubungi suspek, menyebabkan dia berasa ditipu.

"Wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Tun Abd Razak di sini semalam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.