Bimbang kononnya semua aset akan dibekukan, seorang suri rumah di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM65,000 selepas wang miliknya lesap, dipercayai angkara Macau Scam, pada Selasa.

Wang tersebut telah dikeluarkan daripada simpanannya dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang suspek yang mendakwa polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, suspek mendakwa kononnya terdapat perintah mahkamah dikeluarkan untuk membekukan semua aset mangsa yang berusia 53 tahun itu.

Malah, dia turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu perkara berkenaan kepada sesiapa.

"Pada hari yang sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang memaklumkan mangsa hanya mempunyai masa lebih kurang dua jam sebelum segala asetnya dibekukan.

"Bagi mengelakkan daripada terkena tindakan mahkamah serta penjara, suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam satu akaun yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat dua kali pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza, masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM35,000.

"Sumber wang yang mangsa pindahkan berkenaan adalah dari wang simpanan ASB miliknya sendiri.

"Apabila pengadu sampai ke rumah mangsa, baru sedar dia sudah ditipu, dan dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk membuat laporan polis," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.