TAIPING: Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia 9 tahun, bulan lalu.

Tertuduh Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36 dan Izuhaizat Ismail, 37, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Nur 'Atiqah Sapari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama melakukan bunuh menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Panglima, Assam Kumbang, Taiping antara jam 10.30 pagi, 29 Julai hingga 10.52 pagi, 30 Julai lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia, bedah siasat, forensik dan DNA.

Tiada jaminan ditawarkan kerana ia melibatkan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 30 Julai lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah hasil maklumat orang awam yang melaporkannya kepada polis.

Hasil siasatan awal pihak forensik di tempat kejadian mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa terbabit.