TAIPING: Polis menahan ibu kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ditemukan maut di Asam Kumbang, di sini, pada Ahad.

Wanita berusia 36 tahun itu ditahan bersama-sama teman lelakinya, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal pasukan forensik polis di tempat kejadian, mendapati terdapat unsur penderaan ke atas mangsa.

Menurutnya, kejadian penderaan dipercayai berlaku sejak Mac lalu.

“Mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan maut di sebuah rumah di Asam Kumbang, di sini, pada pagi Ahad.

Menurut Razlam, kanak-kanak tersebut merupakan anak kedua daripada lima beradik dan ibunya tinggal bersama teman lelaki di rumah yang sama.

Katanya, wanita berkenaan dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.