Wanita warga emas ditemukan rentung dengan 80 peratus kesan lecur

Umavathi Ramayah
Januari 19, 2024 14:29 MYT
Mohamad Fakhrudin memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.46 pagi daripada orang awam. - Gambar IPD Petang Jaya
PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam satu kejadian di sebuah lorong di Jalan SS 22/10, Kelana Jaya awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.46 pagi daripada orang awam.
Bertindak atas maklumat itu, beliau memberitahu, sebuah kereta peronda polis (MPV) diarahkan ke lokasi.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Damansara juga bergegas ke tempat kejadian.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 60-an ditemukan mati dengan kesan lecur hampir 80 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin memberitahu, setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, polis membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti punca kematian.
#Balai Bomba dan Penyelamat #warga emas #kematian mengejut #rentung