Wanita warga emas rugi RM371,000 diperdaya 'Datuk Yoong'

Mangsa menerima panggilan telefon pada 26 Oktober daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai polis.
IPOH: Seorang wanita warga emas di Teluk Intan kerugian sebanyak RM371,000 selepas terperdaya dengan sindiket phone scam atau penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis sejak Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Bakri Zainal Abidin berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 67 tahun yang merupakan seorang peniaga pada Sabtu lepas.
Beliau berkata hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa menerima panggilan telefon pada 26 Okt daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bernama "Datuk Yoong" dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Bagi tujuan siasatan, mangsa telah berurusan dengan pihak tersebut melalui aplikasi WhatsApp di tiga nombor telefon berbeza bermula dari 27 Okt hingga 10 Nov.
"Mangsa telah diarahkan untuk memindahkan keseluruhan wang miliknya kepada empat institusi kewangan tempatan sebanyak RM371,000 bagi tujuan siasatan pihak polis dan wang mangsa akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bakri berkata mangsa juga telah dimaklumkan oleh pegawai polis itu bahawa mereka akan datang berjumpa dengan mangsa untuk menyelesaikan kes melibatkan mangsa.
Menurut Bakri, bagaimanapun mangsa telah mengesyaki dirinya telah ditipu kerana tiada pegawai polis yang datang berjumpa dan mangsa bertindak membuat laporan polis.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


