ATM masih dibarisi anggota berintegriti, ikhlas berkhidmat - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled juga berkata Kementerian Pertahanan komited dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih dibarisi ratusan ribu anggota yang berintegriti, ikhlas berkhidmat serta sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara, meskipun berdepan pelbagai kontroversi.
Ringkasan AI
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih mempunyai ratusan ribu anggota yang berintegriti dan sanggup berkorban demi negara.
- Kementerian Pertahanan komited membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM, dengan menegaskan akan membawa individu yang bersalah ke muka pengadilan.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes rasuah berkaitan perolehan Tentera Darat Malaysia, sementara ATM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar dan aktiviti tidak bermoral di kem tentera.
"Sesiapa sahaja yang bersalah, kita akan pastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya. Mereka yang mencemar nama baik ATM bukan cerminan akhlak dan kewibawaan (seluruh anggota).
"Masih ada ratusan ribu anggota ATM di luar sana yang berintegriti, ikhlas berkhidmat dan sedia berkorban jiwa dan raga. Jadi kepada rakyat sekalian, tolonglah berlaku adil dan munasabah terhadap ATM, jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga," katanya.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes rasuah berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia yang melibatkan beberapa pegawai tertinggi ATM.
Selain itu, ATM diarah menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera yang tular di media sosial.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


