KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian serta Wakaf Bencana.

"Justeru, wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMKe-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Ia selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera," kata Ismail Sabri ketika berucap merasmikan Waqaf FELDA di ibu negara pada Jumaat.

Beliau berkata, institusi wakaf perlu bersama-sama memain peranan untuk melonjakkan sosio-ekonomi komuniti sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Iltizam ini juga, kata Ismail Sabri, boleh dicapai melalui Waqaf FELDA yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi dengan menggunakan konsep wakaf korporat.

"Objektif penubuhan Waqaf FELDA ini adalah menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian FELDA.

"Ia bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan,” kata Perdana Menteri.

Waqaf FELDA yang ditubuhkan ini, jelas beliau, akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh FELDA sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan FELDA dan MSM Holdings Berhad serta agensi berkaitan lain.

Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf FELDA ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, 5 peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula.