IPOH: Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memberi rasuah RM150 kepada seorang inspektor polis, tahun lalu.

Hakim M. Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hossain Md Shakib mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi suatu suapan wang tunai RM150 kepada seorang inspektor polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh dan dua rakannya atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan pas lawatan kerja yang telah tamat tempoh, di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebelum jalan keluar Plaza Tol Sungkai, sekitar pukul 2.50 petang, 10 Mac 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda di samping wang rasuah RM150 dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.