KUALA LUMPUR : Warga emas yang sihat dan masih berminat untuk menyambung pelajaran mampu memberi sumbangan kepada ekonomi 'silver' di Malaysia.

Naib Canselor Perdana University, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, ekonomi 'silver' adalah sektor baharu yang bukan sahaja memenuhi keperluan golongan usia emas, malah memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Jelasnya, warga emas mampu memberi sumbangan kerana pengalaman yang diperoleh mereka.

"Keperluan orang-orang tua ini banyak keperluan baharu, bukan sahaja dari segi penjagaan kesihatan. Ia juga merupakan satu sektor ekonomi yang ada potensi besar jika jumlah penduduk tua ini meningkat.

"Ini tidak harus dilihat sebagai satu bebanan kepada negara, tetapi juga sebagai potensi ekonomi yang baharu kerana warga emas bertambah dari segi jumlahnya dan jangka hayatnya," katanya semasa menjadi tetamu Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Ujarnya, negara seperti Singapura juga boleh dijadikan contoh bagaimana usaha kerajaan republik itu yang menyediakan pekerjaan baharu bukan secara sepenuh masa kepada warga emas dalam usaha memastikan golongan itu tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Justeru beliau bersetuju jika perubahan dasar dilakukan bagi memenuhi keperluan ekonomi silver dalam usaha memastikan mereka menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sektor pekerjaan baharu.

"Usaha memperkasa generasi lama dengan pendidikan sepanjang hayat menuntut kerajaan melakukan perubahan atau penambahbaikan kepada dasar tertentu," katanya lagi. 
 
Dalam pada itu, beliau melihat menyambung pelajaran dalam usia emas disifatkan lebih tenang dan kurang tekanan.

"Mereka lebih 'relax' kerana tidak lagi tertekan untuk skor CGPA dan sebagainya, bukan itu matlamat mereka. Jadi, mereka belajar untuk  menambah ilmu dan berdasarkan minat yang ada.

"Pada saya, setiap bidang itu ada kelebihan kepada individu masing-masing. Misalnya kalau mereka ambil jurusan perniagaan, mereka nak tahu selok-belok perniagaan dan mereka sudah ada idea tetapi nak belajar secara lebih berstruktur," ujarnya.

Selain itu katanya, warga emas juga digalakkan mempelajari bidang-bidang baharu seperti falsafah ,seni budaya dan muzik bagi menggerakkan daya kreatif mereka.

"Mungkin selama ini mereka tertumpu kepada sebelah otak sahaja, jadi bidang baharu boleh menggunakan sebahagian lagi otak yang kurang digunakan.

"Ini baik untuk kecerdasan dan kemampuan berfikir sebab otak kita ini boleh dirangsang. Ini kerana ada penemuan bahawa walaupun kita berusia, tidak bermakna sel-sel otak kita tidak lagi berkembang," ujarnya.