KUALA LUMPUR: Bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini setelah mengaku bersalah menipu seorang lelaki kononnya bagasi mangsa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun lepas.

Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, didakwa menipu Abdul Khadar Ahmad Ali, 59, bahawa beg bagasinya ditahan di KLIA sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM2,700, yang mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah hotel di Ampang, Selangor antara 1.40 tengah hari, 19 Julai 2023 dan 3.39 petang, 24 Julai tahun sama mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman denda itu dan memerintahkannya dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan umur tertuduh bukanlah satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

"Sebagai seorang yang lebih berusia, saya percaya bahawa tertuduh lebih tahu dan faham bahawa memperdayakan merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut Kanun Keseksaan.

"Oleh itu saya percaya bahawa mahkamah seharusnya tidak mengambil kira faktor umur tersebut," katanya.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum mengambil kira faktor usia anak guamnya selain menghidapi penyakit prostat dan batu karang.

"Tertuduh mempunyai sembilan orang anak, tiga daripada mereka telah meninggal dunia. Isteri tertuduh juga telah meninggal dunia. Tertuduh menghidapi penyakit prostat sejak lima bulan yang lalu dan perlu menukar tiub dua minggu sekali, yang janji temu rawatan seterusnya dijadualkan esok.

"Selain itu, tertuduh juga mempunyai masalah batu karang dan akan melakukan rawatan pembedahan laser pada Khamis ini. Mohon tertuduh dikenakan denda ringan," kata peguam itu.

-- BERNAMA