Mayat lelaki warga emas dengan kesan terbakar ditemui dalam kejadian kebakaran di Kampung Terongkongan, Kudat, di sini hari ini.

Mayat Mongulin Jumahil, 70 tahun, ditemui oleh penduduk kampung ketika cuba memadam kebakaran berkenaan sebelum ketibaan pasukan Bomba ke lokasi kejadian yang melibatkan anggaran keluasan 20 ekar.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II Sentay Bakau, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kudat menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.35 tengah hari sebelum tiba di lokasi kira-kira 25 minit kemudian.

Kata beliau, kebakaran bermula di kawasan hutan sebelum merebak ke kawasan kebun getah berhampiran selain usaha memadam kebakaran pada awalnya dilakukan oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.

”Semasa melakukan pemadaman, penduduk kampung telah menjumpai seorang mangsa yang tidak sedarkan diri dan rentung di kawasan kebakaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, setiba sahaja di lokasi kejadian, pasukan bomba membuat operasi pemadaman menggunakan pemerap api sehingga api dapat dikawal dan mengeluarkan mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.

Api berjaya dikawal sepenuhnya daripada terus merebak ke kawasan perkampungan dan kebun berhampiran pada jam 3.08 petang.