MALAYSIA
Warga emas maut dipukul anak guna kerusi kayu

Othman Jusoh (gambar kecil) maut dipercayai dipukul anaknya sendiri menggunakan kerusi kayu ketika sedang bersiap menunaikan solat Subuh di Kampung Kuala Gris. -Sinar Harian
KUALA KRAI: Seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul anaknya sendiri menggunakan kerusi kayu dalam kejadian menyayat hati di Kampung Kuala Gris, awal pagi Rabu.
Ringkasan AI
- Seorang warga emas, Othman Jusoh, maut dipercayai dipukul anaknya sendiri menggunakan kerusi kayu ketika sedang bersiap menunaikan solat Subuh di Kampung Kuala Gris.
- Isteri mangsa, Rohana Che Daud, menyaksikan kejadian dan segera meminta bantuan jiran, manakala suspek yang mempunyai sejarah penagihan dadah pernah ditahan dan baru pulang tinggal bersama keluarga.
- Polis mengesahkan kejadian dan sedang menjalankan siasatan terperinci, sementara mangsa akan dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai.
“Ketika itu juga, anak saya sedang menekan kerusi ke leher suami yang sudah dalam keadaan tidak berdaya. Saya cuba halang, namun tidak diendahkan,” katanya.
Rohana berkata, dia terus berlari ke rumah jiran yang hanya beberapa meter dari kediamannya untuk meminta bantuan.
Menurut Rohana, suaminya pernah meluahkan kebimbangan kepada pihak polis lima tahun lalu bahawa dia tidak lagi mampu menjaga anak mereka, yang mempunyai masalah penagihan dadah dan pernah beberapa kali ditahan.
Jelas Rohana, anaknya itu dibebaskan pada Jun lalu dan sempat bekerja di Johor sebelum pulang pada akhir Julai dan tinggal bersamanya.
Rohana berkata, arwah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Gris selepas selesai proses bedah siasat.
Sementara itu, jiran mangsa, Tuan Noor Azwanis Tuan Mohamad, 38, berkata, dia terkejut apabila terdengar suara meminta tolong selepas selesai menunaikan solat Subuh.
Katanya, sebelum itu dia sudah berasa tidak sedap hati apabila melihat suspek mundar-mandir di hadapan rumah sambil bercakap sendirian kira-kira jam 4.30 pagi.
“Saya baru selesai solat Subuh dan bergegas buka pintu, lalu mendapati Rohana dalam keadaan panik serta meminta tolong supaya menghubungi polis kerana suaminya sudah berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, ketika itu juga dia menarik Rohana masuk ke dalam rumahnya dan mengunci pintu kerana bimbang suspek akan bertindak lebih agresif.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami