SIBU: Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) sebelum terbakar, di simpang Kampung Jebungan, Kilometer 9, Jalan Mukah-Balingian di daerah Mukah, kira-kira 155 km dari sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mura Kimik, 75, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan patah kaki kanan dalam kemalangan itu yang dilaporkan berlaku kira-kira 6.30 pagi, kata Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhammad Rizal Alias.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan 4WD itu bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke Mukah telah melanggar mangsa yang secara tiba-tiba menunggang motosikalnya keluar dari simpang Kampung Jebungan," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya pertembungan itu menyebabkan Mura tercampak ke bahagian kanan jalan manakala motosikalnya terbakar.

"Akibat daripada kemalangan tersebut penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Hospital Mukah sebelum mayatnya dihantar ke hospital itu untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA