BAU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Jalan Lundu-Bau, awal pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Saptuyah Sulong, 64 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.33 pagi.

"Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan enam anggota segera digerak atur ke lokasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Setibanya di lokasi, katanya, pasukan memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori 10 tan, dengan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas RTA sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang terselamat dikejarkan ke Hospital Bau bagi mendapatkan rawatan susulan.