NATIONAL
Warga emas maut tertembak senapang patah buatan sendiri

Seorang lelaki warga emas maut akibat terkena tembakan senapang patah buatan sendiri dalam kejadian di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, Pahang, pada Ahad lalu.
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat terkena tembakan senapang patah buatan sendiri dalam kejadian di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, Pahang, pada Ahad lalu.
Mangsa berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada selepas senapang dibawanya meletup dan terkena jari kelingking tangan kanannya sebelum tembakan mengenai sisi dada kanan.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, siasatan mendapati mangsa sedang menjalankan aktiviti memburu secara haram bersama enam rakannya sebelum kejadian berlaku.
“Laporan awal diterima pada Ahad lalu daripada seorang lelaki berusia 54 tahun yang memaklumkan mengenai kematian mengejut rakannya semasa memburu di hutan Tebu Hitam."Hasil bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada Isnin mengesahkan punca kematian sebagai 'gun shot injury to the chest' dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki berusia antara 35 hingga 67 tahun dan seorang lelaki Orang Asli berusia 46 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.
Turut dirampas lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Uribino, serta 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak polis turut menegaskan, tiada kompromi terhadap individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen dan menyeru mereka yang masih menyimpan senjata sedemikian agar menyerahkannya kepada pihak berkuasa sebelum tindakan tegas diambil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami