IPOH: Seorang lelaki warga emas kerugian RM1.9 juta apabila menjadi mangsa sindiket penipuan menerusi telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang berusia 78 tahun itu membuat laporan polis semalam.
Menurutnya, mangsa telah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan seterusnya diperdaya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian yang besar.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai menggunakan modus operandi phone scam iaitu suspek menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menimbulkan rasa takut dan meyakinkan mangsa bahawa mangsa terlibat dengan suatu kesalahan atau siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Mohd Alwi, mangsa kemudiannya diarahkan mengikuti arahan yang diberikan sehingga wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mohd Alwi menegaskan, pihak polis tidak akan mengarahkan mana-mana individu memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi penguatkuasaan.
Dalam masa sama, Mohd Alwi berkata, sekiranya menerima panggilan mencurigakan, orang ramai dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan, tidak mendedahkan maklumat perbankan, nombor TAC/OTP, kata laluan atau maklumat peribadi serta membuat pengesahan melalui saluran rasmi agensi berkenaan.