SEGAMAT: Seorang wanita warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Batu Anam, di sini petang tadi.

Mangsa, A. Fatimah, 69, yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditemui oleh jirannya yang menyedari kehilangan warga emas itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian itu sekali gus merekodkan empat kematian akibat banjir di negeri itu, iaitu satu di daerah Kluang dan tiga di daerah Segamat.

“Termasuk (kejadian pertama) di Kluang, empat orang telah meninggal dunia dan terbaru adalah pada petang tadi yang melibatkan seorang wanita warga emas berusia 69 tahun.

“Mangsa telah pun ditempatkan di PPS, bagaimanapun, warga emas ini didapati tiada di PPS tersebut dan jirannya telah keluar mencari dan dijumpai meninggal dunia di longkang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat malam Jumaat.

Mengulas lanjut ujarnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan sebelum ditemui lemas.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan mayat mangsa telah pun dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Mangsa mungkin terjatuh dan siasatan pihak polis akan diteruskan termasuk mengenal pasti kenapa mangsa ini keluar daripada PPS.

“Jadi, saya harap bahawa semua mangsa yang ada masalah ataupun mereka yang terkepung oleh air dan sebagainya untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa kerana mana-mana agensi pun akan usaha selamatkan mereka dengan segera,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki menjadi korban pertama banjir di Johor apabila keretanya dinaiki air dan dihanyutkan arus deras di Jalan GSA Chamek, Paloh, Kluang.

Manakala dua warga emas yang tinggal sendirian, ditemukan lemas selepas rumah masing-masing ditenggelami banjir di Jalan Kwongsai, Chaah semalam, sekali gus menjadi korban kedua dan ketiga dilaporkan di negeri itu.