KUANTAN: Seorang warga emas berusia 82 tahun mengakui terkejut apabila menerima bil air dari bulan April hingga Disember 2019 yang mencecah RM5,563.90.

Menurut Kum Mun Seng, beliau menerima bil berkenaan untuk rumah yang didiaminya di Taman Seri Setali di sini membuatkan dirinya runsing bagaimana hendak membayar tunggakan sebanyak itu.

Dia yang menjaga anak kategori orang kurang upaya (OKU) kemudian menyedari peningkatan bil air di rumah didiaminya berpunca daripada kebocoran paip.

"Untuk bulan April hingga Jun (2019) saya bayar bil macam biasa, RM3 atau RM3.50 sebulan sebab biasanya itulah (kadar) bil bulanan untuk rumah ini dan terkejut apabila menerima notis tunggakan (berjumlah RM5,563.90) sekitar bulan Julai (2019) sebelum menyedari berlaku kebocoran paip bawah tanah yang menyebabkan bil meningkat begitu tinggi.

“Saya telah mengupah tukang paip membaiki kerosakan itu dan mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM700 bagi tujuan itu.

“Tapi untuk bayar tunggakan bil itu susah juga sebab saya tidak ada sumber pendapatan dan hanya harapkan bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Anak saya OKU mental berumur 41 tahun juga ada terima (elaun) RM300 dari JKM," katanya ketika ditemui di Taman Seri Setali, dekat bandar raya Kuantan pada Isnin.

Buntu memikirkan bagaimana untuk membayar tunggakan itu, Mun Seng menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bagi mendapatkan bantuan.

"YB ( Chon Siang) telah membuat surat rayuan kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pada 26 April lalu untuk merayu supaya jumlah tunggakan dikurangkan dan diberi pilihan untuk bayar secara ansuran.

“Tapi dalam surat jawapan PAIP bertarikh 27 Mei lalu memaklumkan permohonan rayuan pengurangan bayaran tunggakan tidak dapat diluluskan.

"Saya sekarang tidak boleh tidur lena, selalu risau bila fikir apa nak buat kalau (bekalan air) kena potong, mereka (PAIP) juga sudah dua kali hantar surat (notis), jadi kalau tak selesaikan (tunggakan), bekalan air mesti dia potong," kata Mun Seng lagi.

Kali pertama PAIP menghantar notis amaran pada pertengahan bulan Mei dan terkini pada 16 Jun lalu, satu lagi notis amaran pemotongan dihantar ke alamat rumah Mun Seng.

Sementara itu, Chon Siang mahu pihak PAIP supaya lebih bertimbang rasa dan mengambil kira kesulitan dihadapi Mun Seng yang sedang menjaga seorang anak OKU.

"Cadangan PAIP untuk bayar secara ansuran juga tidak logik, dia kena bayar RM925 sebulan, tidak termasuk bil semasa, bermula bulan Jun hingga November 2022.

"Mereka tidak ada sumber pendapatan, cuma dapat elaun dari JKM, dia dapat RM300 dan anaknya juga RM300, jadi macam mana nak bayar?," katanya.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan tindakan pihak PAIP untuk menolak rayuan dikemukakan Mun Seng melalui surat rasmi oleh ADUN Teruntum itu adalah sangat mengecewakan.

"Mereka (PAIP) sepatutnya boleh mengambil kira kes ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, tapi nampaknya warga emas yang menjaga seorang anak OKU terpaksa membayar juga tunggakan seperti diarahkan,” katanya.

Fuziah turut menyerahkan cek berjumlah RM5,600 sumbangan pusat khidmat ahli Parlimen Kuantan kepada Mun Seng bagi menyelesaikan tunggakan bil air itu.

"Saya harap orang ramai turut membantu dengan menyalurkan sumbangan, tidak kiralah RM10 ke, berapa ke, ke tabung pusat khidmat ahli Parlimen untuk memastikan lebih ramai orang kurang bernasib baik seperti Mun Seng boleh kita bantu," katanya.