KUALA LUMPUR: Seorang warga emas, Khatijah Ali, sanggup menolak Bantuan Kewangan Haji ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH) kepadanya pada tahun ini, bagi memberi peluang kepada bakal haji yang lebih memerlukan bantuan itu.

Pesara sektor swasta berusia 63 tahun dari Melaka itu menganggap, tindakan berkenaan sebagai sumbangan atau sedekahnya supaya lebih ramai individu yang ingin menunaikan haji mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

Khatijah mengambil pendekatan membuat bayaran penuh kos haji sebanyak RM30,850 sekali gus menolak tawaran Bantuan Kewangan Haji disediakan TH untuknya berjumlah RM19,870.

"Saya mula menabung di Tabung Haji pada 2 Feb 2007 dan daftar haji pada 7 Jan 2009. Simpanan saya di TH mencukupi dan saya menolak bantuan diberikan untuk bantu yang lain," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bantuan Kewangan Haji adalah usaha TH sebagai institusi kewangan Islam untuk membantu kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadah haji.

Pada tahun ini, TH telah memperuntukkan RM400 juta bagi menampung kos jemaah haji kumpulan berkenaan dan akan terus membiayai bantuan itu secara bersasar walaupun kos haji ke Tanah Suci meningkat kepada RM30,850 berbanding RM28,632 tahun lepas.

Bagi seorang pengusaha projek pertanian di Perak yang hanya ingin dikenali sebagai Saleh, 48, dia berpegang kepada syarat istita'ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

"Saya memilih menggunakan wang tabungan sendiri yang mula disimpan ibu bapa saya di Tabung Haji sejak awal 80-an dan saya menyambung menyimpannya setelah dewasa. Walaupun ditawarkan Bantuan Kewangan Haji, saya beranggapan adalah lebih afdal menanggung keseluruhan kos mengerjakan haji di Tanah Suci sendiri.

"Tambahan pula wang yang disimpan mencukupi untuk menanggung keseluruhan kos. Apabila tidak mengambilnya (Bantuan Kewangan Haji), sekurang-kurangnya ia boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan," katanya.

Saleh yang sepatutnya menunaikan haji pada 2022 namun tertangguh akibat COVID-19, tersenarai dalam giliran haji dengan tawaran Bantuan Kewangan Haji bagi kumpulan B40 sebanyak RM10,850 untuk mengerjakan haji pada Jun lepas.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, Bantuan Kewangan Haji secara bersasar akan meringankan beban jemaah haji yang mungkin menghadapi kesukaran kewangan menunaikan ibadah haji kali pertama.

Beliau berkata, bantuan tersebut bersifat inklusif dan adil kepada pelaksanaan haji, dengan setiap jemaah haji yang mempunyai pelbagai latar belakang kewangan akan memiliki peluang menunaikan haji.

Mengenai tindakan segelitir penerima Bantuan Kewangan Haji yang memilih untuk membayar kos haji penuh, Nur Hafizah berkata, dana bantuan yang tidak digunakan itu boleh diagihkan semula kepada pendeposit TH dalam bentuk dividen pada tahun berikutnya.

"Saya berpendapat ia mampu mengukuhkan lagi prestasi kewangan TH terutama dalam bentuk agihan keuntungan (dividen). Namun, sekiranya perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji meningkat di samping kos operasi juga meningkat, ia sudah pasti mempengaruhi kadar agihan keuntungan kepada para pendeposit," katanya.

Nur Hafizah juga turut menzahirkan pandangan sekiranya terdapat penolakan yang signifikan dan berterusan terhadap Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, TH perlu menilai dan memantau semula kriteria pemberian bantuan kepada jemaah haji dalam kalangan kumpulan B40 dan M40 yang memenuhi syarat.

"Selain itu, TH juga perlu menambah baik polisi dan dasar serta strategi institusi itu dalam memberikan bantuan kewangan kepada yang memerlukan.

"Saya juga berpandangan bahawa lebihan dana tersebut mungkin boleh digunakan kepada jemaah haji telah terpilih dalam kuota menunaikan haji lain yang masih lagi kurang berkemampuan dan mungkin memerlukan subsidi bantuan lebih banyak, mengikut situasi tertentu," katanya.

Beliau juga menyambut baik usaha TH memperkenalkan struktur bantuan secara bersasar tahun ini dengan mengambil kira perbezaan tahap pendapatan dan kemampuan kewangan dalam kalangan jemaah haji mengikut tiga kategori utama iaitu kumpulan B40, M40 dan T20.

"Berbanding hanya dua kategori pada 2022 iaitu kumpulan B40 dan bukan B40, struktur bayaran haji bersasar adalah baik untuk memastikan pelaksanaan haji lebih inklusif, meliputi aspek sosioekonomi jemaah seperti keadilan sosial dan tahap kemampuan kewangan," katanya. - BERNAMA