KLANG: Lelaki warga Israel yang ditahan polis bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang di ibu negara, Rabu lepas masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis yang sah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pasport milik suspek dikeluarkan secara sah oleh kedutaan Perancis di Tel Aviv, Israel, membolehkan lelaki tersebut mengemukakan dokumen perjalanan yang tulen semasa melalui pemeriksaan pihak keselamatan.

Katanya ia sekali gus menafikan dakwaan wujud kelemahan penguatkuasaan di pintu masuk negara kerana Akta Imigresen membenarkan mana-mana individu masuk ke negara ini sekiranya mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan Malaysia tidak mempunyai masalah dengan negara yang mengeluarkan dokumen tersebut.

"Sekarang ini timbul percubaan untuk alihkan topik seolah-olah pemantauan kita tidak kemas, ada kelemahan kenapa benarkan individu itu masuk ke negara ini.

"Dari aspek sistem dan Akta Imigresen, kalau dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah hubungan diplomatik dengan negara yang mengeluarkan dokumen perjalanan tersebut, kita boleh benarkan dia masuk," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Op Pagar Laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di atas Kapal Maritim Tun Fatimah di sekitar perairan maritim Selangor bermula dari Jeti Pusat Hidrografi Nasional di Pelabuhan Klang dekat sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pihak berkuasa Malaysia mempunyai senarai dan profil lengkap individu yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini dan dasar tersebut dilaksanakan di semua pintu masuk sempadan negara.

Justeru beliau meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan persoalan tidak munasabah sehingga boleh menimbulkan keraguan terhadap aspek keselamatan dalam negara.

Katanya insiden seorang individu mempunyai dwi warganegara dalam satu masa itu juga menunjukkan kepentingan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan yang diusahakan kerajaan, yang tujuan utamanya adalah untuk menjaga keselamatan negara.

"... bila saya sebut Perlembagaan kita tidak iktiraf dua kerakyatan, ada tokoh hak asasi manusia kata sekarang negara terbuka kenapa tak bagi... biarlah mereka membawa dua pasport. Sekarang kita boleh tengok maksud kenapa kerajaan nak ketatkan akta tersebut ," katanya.

-- BERNAMA