KUALA LUMPUR: Warga Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) merupakan 'barisan hadapan' yang sentiasa memberikan perkhidmatan tanpa henti kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata warga MetMalaysia juga berperanan utama dalam memahami fenomena iklim seterusnya melindungi kehidupan di bumi.

"Terima kasih kepada seluruh ahli Meteorologi terutamanya warga MetMalaysia di atas sumbangan menyalurkan informasi dan membantu masyarakat lebih cakna keadaan cuaca semasa dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana," katanya menerusi catatan di Facebook sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sambutan Hari Meteorologi Sedunia diharap dapat mendidik masyarakat untuk menghargai pentingnya ahli meteorologi kepada dunia dan kepentingan memelihara kelestarian alam semulajadi.

"Teruskan bersemangat para pahlawan cuaca!" katanya.

Hari Meteorologi Sedunia disambut pada 23 Mac setiap tahun dan pada tahun ini sambutan bertemakan Barisan Hadapan Kepada Tindakan Iklim.

Tema itu dipilih bagi mengangkat perkhidmatan meteorologi yang berperanan penting dalam pengurangan risiko dan impak kepada perubahan iklim.

-- BERNAMA