Warga Syria terkandas di klia2 perlu jalani penapisan

Bernama
April 13, 2018 04:49 MYT
Nur Jazlan merasmikan Buku Panduan Visa Malaysia pada Sambutan Hari Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (kiri). --fotoBERNAMA
Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan pemberian pas khas melalui Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) kepada seorang lelaki warga Syria yang terkandas lebih sebulan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sekiranya diluluskan, lelaki berkenaan perlu melalui proses penapisan yang sama seperti migran Syria yang lain.
"Ini kerana kita perlu menyiasat terlebih dahulu latar belakang individu berkenaan untuk memastikan tiada masalah keselamatan dan perkara yang berkaitan lain.
"Kita perlu berhati-hati untuk membuat pertimbangan permohonan (seperti ini) khususnya daripada rakyat Timur Tengah yang sedang menghadapi peperangan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Jabatan Imigresen di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Hassan al Kontar, 36, mendakwa tinggal di lapangan terbang terbabit sejak 7 Mac lalu bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria, di mana perang saudara berlanjutan selama tujuh tahun.
Hassan menghantar blog video mengenai kehidupan sehariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media.
Nur Jazlan berkata penapisan terhadap program PPSMS dilakukan bagi memastikan unsur keganasan termasuk Daish tidak memasuki negara ini.
Ditanya bilakah keputusan mengenai pertimbangan tersebut, Nur Jazlan berkata: "Ini bukan perkara mudah, kita pun tidak tahu latar belakang beliau. Kejadian ini pun terjadi sekali sekala."
--BERNAMA
#blog video #daish #hassan al kontar #keganasan #KLIA2 #lapangan terbang #Nur Jazlan Mohamed #Pas Khas #proses penapisan #Syria #terkandas