KAJANG: Kerajaan mengesahkan telah menghantar pulang wartawan Pakistan, Syed Fawad Ali Shah yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, keberadaan individu itu di negara ini membuatkan Pakistan membuat permohonan untuk menghantar pulang individu tersebut.

"Permohonan atas permintaan Pakistan pada kerajaan ketika itu, bukan kerajaan sekarang (Kerajaan Perpaduan)... ini dibuat lebih awal pada Ogos, jadi itu faktanya.

"Kerajaan ketika itu berjaya mengesan Fawad dan seawal minggu ketiga bulan Ogos, beliau telah dihantar pulang ke Islamabad.

"Saya boleh sahkan berdasarkan rekod rasmi, tindakan yang dibuat bersesuaian dengan permintaan kerajaan Pakistan. Kita dah kesan dan kemudian hantar dia (Fawad) pulang," katanya ketika sidang media selepas hadir lawatan rasmi di Penjara Kajang pada Selasa.

[TERKINI] Sidang media Menteri Dalam Negeri


Mengulas lanjut, Saifuddin turut menyatakan bahawa Malaysia mengenali individu tersebut sebagai seorang wartawan.

Sebaliknya, sumber yang diterima daripada Pakistan menyatakan Fawad merupakan seorang anggota polis yang mempunyai masalah disiplin.

"Media kita kenali dia sebagai wartawan tetapi versi rasmi dari Pakistan, beliau merupakan bekas anggota polis yang ada masalah disiplin.

"Walaupun bekas polis yang ada kes, beliau ada keupayaan menulis yang baik jadi tulisannya banyak kritik kerajaan Pakistan... Saya baru sahaja diberi maklum kes ini seminggu lebih," katanya lagi.

Sebelum ini, Syed Fawad pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 berhubung penulisannya berkaitan kehilangan paksa penduduk di negara itu.

Selain itu, individu yang dikatakan sebagai wartawan itu juga pernah ditahan selama 18 hari oleh pegawai risikan Pakistan sebelum diberi amaran agar berhenti menulis isu seumpama itu.

Syed Fawad pernah berkunjung ke Malaysia pada 2011 melalui Thailand sebelun diberi status pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Baru-baru ini, isteri kepada Syed Fawad turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan berhubung isu kehilangan suaminya.

Dakwanya, wujud beberapa perkara yang mencurigakan berhubung penghantaran pulang suaminya ke negara asal.