JOHOR BAHRU: Seorang wartawan berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang, di sebuah restoran di Taman Molek di sini, malam tadi.

Wartawan portal berita Ernalisa Othman, 38, berkata kejadian pantas itu berlaku kira-kira pukul 9.45 malam, ketika dia baru duduk di meja luar restoran berkenaan, sebelum terlihat dua lelaki yang menunggang dan membonceng motosikal berwarna hitam berada di hadapan premis berkenaan, dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan, meletakkan motosikal di hadapan restoran dan berjalan dari arah hadapan menuju ke arahnya.

"Apabila kedua-duanya berjalan menuju ke arah saya, saya sedikit panik, mereka datang dari arah depan dengan memakai tapi keledar dan pelitup muka, sebelum berdiri di sebelah saya.

"Ketika itu saya baharu mengeluarkan komputer riba di atas meja untuk memulakan kerja. Mereka kemudian merampas beg berisi telefon bimbit dan komputer riba, dan saya cuba menghalangnya tetapi seorang daripada mereka menghunuskan parang depan muka saya sambil berkata, nak bagi ke tak... dan ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika parang diacu di depan muka," katanya ketika dihubungi.

Ernalisa berkata ketika dua lelaki itu melarikan beg dan komputer riba, telefon bimbit yang berada di dalam beg berkenaan terjatuh atas lantai dan dia bertindak mengambil telefon bimbit tersebut sebelum berlari masuk dalam restoran, manakala kedua-dua lelaki itu melarikan diri.

"Ketika kejadian, terdapat beberapa pelanggan lain yang duduk berhampirannya namun mereka sempat lari masuk ke dalam premis.

"Kebetulan ketika kejadian saya meninggalkan beg tangan di dalam kereta, jika bawa bersama ia turut menjadi sasaran penjenayah.

"Penunggang motosikal berkenaan berkulit gelap, kurus dan tinggi serta kelihatan tidak terurus manakala pembonceng berpakaian kemas, berkulit sawo matang dan agak berisi dan mereka berusia dalam lingkungan 30-an, kelihatan seperti warga tempatan dan saya mendapati motosikal dinaiki mereka juga tanpa nombor plat," katanya.

Ernalisa yang menjadi wartawan selama 10 tahun berkata kerugian yang dialaminya, membabitkan telefon bimbit dan komputer riba bernilai keseluruhan kira-kira RM5,000, milik majikannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu samun menggunakan senjata parang dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

-- BERNAMA