WDS 2026 platform pendedahan teknologi pertahanan global - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled (tengah) mewakili Malaysia dalam World Defense Show (WDS) 2026 di Riyadh, Arab Saudi. - Gambar Facebook Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam World Defense Show (WDS) 2026 di Riyadh, Arab Saudi memberi pendedahan terhadap perkembangan teknologi dan inovasi pertahanan global, selain membuka ruang kerjasama strategik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, WDS 2026 menghimpunkan delegasi rasmi, agensi kerajaan serta syarikat pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia, termasuk Malaysia bagi mempamerkan teknologi serta inovasi terkini dalam sektor pertahanan.
"WDS 2026 turut memberi perspektif penting kepada Malaysia, khususnya ketika negara sedang mengorak langkah memperkukuh self-reliance menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang telah diluncurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jan lepas.
"Ruang dan peluang ini turut dimanfaatkan pemimpin-pemimpin pertahanan dunia untuk mengadakan pertemuan bagi memperkukuh kerjasama strategik," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, pameran edisi ketiga yang berlangsung dari 8 hingga 12 Feb itu, dianjurkan di bawah naungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, dan dikendalikan Pihak Berkuasa Industri Pertahanan Arab Saudi (GAMI).
Mohamed Khaled berkata, WDS 2026 turut mencerminkan aspirasi Saudi Vision 2030 dalam membangunkan industri pertahanan nasional yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kandungan tempatan melebihi 50 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan serta memperkukuh keupayaan pertahanan.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia dan Arab Saudi akan memeterai perjanjian kerjasama pertahanan sempena lawatan kerja Mohamed Khaled ke negara itu sejak Sabtu.
Sementara itu, menerusi hantaran berasingan, Mohamed Khaled berkata, beliau berpeluang mengadakan pertemuan bersama Menteri Industri Pertahanan Azerbaijan, Vugar Mustafayev.
Beliau berkata, ia adalah pertemuan kedua selepas pertemuan pertama semasa International Defence Industry Fair (IDEF) 2025 di Istanbul, Turkiye pada Julai lepas.
"Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan lebih erat antara Malaysia dan Azerbaijan. Kedua-dua negara turut berkongsi persamaan dari segi aspirasi membangunkan industri pertahanan tempatan masing-masing, serta komitmen untuk memperkukuh keselamatan dan kestabilan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


