KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong, mendakwa beliau menerima ugutan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat membabitkan isu bekalan telur import.

Beliau memberitahu, menerima panggilan pada pukul 9.51 pagi Selasa, daripada individu memperkenalkan diri sebagai 'Deepak' dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

Katanya, lelaki itu turut mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

"Semalam pukul 9.51 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang bernama Deepak yang mendakwa dirinya mewakili JNE Tex Advance Sdn Bhd dan mengatakan beliau telah berbincang dengan PMO untuk buat satu statement (kenyataan) dan kita settle (selesaikan) di luar mahkamah.

"Saya kata apa ini? Apa yang berlaku ialah, saya kata, 'saya tak sebut nama syarikat kamu, saya tak sebut nama kamu'.

"Dia kata 'you kena buat satu statement untuk membetulkan apa yang dibuat di Parlimen'. Saya kata 'saya tak sebut nama you, nama syarikat, kenapa nak buat macam tu? Saya cuma jadi jurucakap rakyat. Ini masalah bekalan telur.'

"Dia kata sudah arahkan peguamnya untuk pergi ke mahkamah dan buat writ saman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun R Ramanan (PH-Sungai Buloh) bangun mencelah dan menyifatkan perkara itu bukan sahaja tidak beretika, sebaliknya juga satu bentuk intimidasi kerana menggunakan nama PMO.

"YB Ayer Hitam sebagai Ahli Parlimen dan Presiden parti (MCA) takkan tidak tahu betul-betul apa niat perdana menteri dan PMO," katanya.

Ka Siong dalam perkongsian di Twitternya memberitahu, beliau menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang menyatakan sebarang ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen ketika sidang berkenaan adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ka Siong yang juga Presiden MCA menerima dua surat saman daripada pengimport telur susulan kenyataan mengenai isu kekurangan telur yang dibangkitkannya ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat.