Wisma Jakel Shah Alam terbakar lagi

Hakim Rahman
Januari 2, 2023 23:00 MYT
Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.45 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.07 pagi dalam kejadian di Wisma Jakel cawangan Shah Alam awal pagi ini. - Foto JBPM Selangor
SHAH ALAM: Gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 di sini terbakar lagi dalam kejadian awal pagi ini.
Kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30x40 kaki persegi di tingkat tiga.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 12.40 tengah malam tadi.
Seramai 43 pegawai dan anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.45 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.07 pagi.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Menurut Norazam, kerja-kerja 'overhaul' turut dilakukan pihaknya untuk memastikan api padam sepenuhnya.
Pada Ahad, premis sama dilaporkan terbakar 80 peratus, dipercayai akibat litar pintas, memusnahkan bahagian dalam bangunan.
Semalam, susulan pelbagai spekulasi yang timbul, polis menasihatkan orang ramai agar menghormati pihak yang mengalami kerugian serta yang hilang sumber pendapatan dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati.

Bangunan kedai tingkat atas sederet Wisma Jakel Shah Alam terbakar kira-kira jam 1 pagi ini. Pihak @bombaJBPM sedang berusaha memadam kebakaran. Awam pic.twitter.com/XUPkz6biTn

— BERNAMA (@bernamadotcom) January 2, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#wisma jakel #kebakaran #shah alam #bilik simpanan kain langsir