Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan wakil kementeriannya akan bertemu enam rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.

Beliau berkata perkara itu akan diaturkan secepat mungkin dan merupakan prosedur operasi standard (SOP) selain akan turut membantu dalam aspek nasihat guaman, jika mereka memerlukannya.

"Kedutaan Malaysia di Indonesia juga berhubung dengan pihak berkuasa negara terlibat bagi memastikan SOP yang diguna pakai dipatuhi dan berjalan lancar.

"Itu memang SOP sedia ada, yang wakil Wisma Putra akan bertemu mana-mana rakyat kita yang ditahan pihak berkuasa, dituduh di mahkamah atau yang ditipu sindiket di luar negara dengan secepat mungkin," katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabatnya dan Pakatan Harapan Indera Mahkota di sini, pada Rabu.

Beliau diminta mengulas laporan media berhubung kenyataan Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar mengenai penemuan dadah seberat 37 kilogram dalam kapal layar yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara pada 4 Jun lalu.

Kapal itu dikatakan belayar dari Johor ke Jakarta pada hari sama, dan lima suspek yang ditahan dikatakan berasal dari Johor manakala seorang lagi dari Perak.

-- BERNAMA