Wong Yan Ke boleh ambil transkrip ijazah - UM

Bernama
Oktober 19, 2019 03:56 MYT
Pihak pengurusan akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat serta dinamik agar program yang disertai UM di masa depan mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara. - Gambar hiasan
Graduan kejuruteraan Wong Yan Ke yang membawa plakad bantahan ke pentas semasa istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM) pada 14 Okt lepas telah dimaklumkan yang beliau boleh mengambil transkrip ijazahnya pada bila-bila masa bermula semalam (18 Okt).
Pengerusi Lembaga UM Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim hari ini dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihak Universiti tidak menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan terbabit.
Pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Okt dengan graduan juga boleh mengakses serta mencetak skrol dalam talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Okt.
Beliau berkata sementara universiti itu menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawahnya, dalam melaksanakan kebebasan itu mereka perlu menghormati hak orang lain juga.
Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata pihak UM berpandangan bahawa perbuatan bantahan graduan itu tidak menghormati Istiadat dan mencemarkan majlis dengan tindakan beliau juga tidak menghormati graduan yang diraikan serta ibu bapa serta para tetamu yang hadir.
BACA: Biadab! Graduan protes di pentas konvo
BACA: Graduan biadab, UM buat laporan polis
Lembaga Pengarah Universiti amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada para graduan, ibu bapa dan tetamu jemputan atas gangguan kepada majlis, katanya.
Semasa istiadat konvokesyen itu, Wong membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan 'Tolak Rasis'; 'Undur VC'; dan 'Ini Tanah Malaysia'.
Ia dipercayai ditujukan kepada naib canselor universiti itu yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM pada 6 Okt lepas.
Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata sejajar dengan matlamat universiti serta prinsip yang didukung, pihak pengurusan universiti akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat serta dinamik agar program yang disertai UM di masa depan mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara.
BACA: Polis siasat tindakan protes graduan UM
BACA: 'Biar mati dari hidup melutut' - Laman web UM jadi sasaran penggodam
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Datuk Noordin Abd Razak berkata PAUM dengan sekeras-kerasnya mengecam tindakan bantahan graduan itu yang jelas tidak menghormati serta mengganggu protokol dan kelancaran majlis.
PAUM juga bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh pihak UM dengan membuat laporan polis berhubung insiden itu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#graduan #kebebasan bersuara #Kongres Maruah Melayu #konvokesyen #Lembaga Pengarah UM #Melayu #Persatuan Alumni UM #plakad #politik kaum #tahan skrol #Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim #transkrip ijazah #UM #universiti malaya #Wong Yan Ke