KUALA LUMPUR: Berbaki beberapa hari lagi sebelum Ramadan berlalu pergi, World #QuranHour 2024 iaitu kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan pengaplikasian menjadi antara ibadah 'pecutan terakhir' umat Islam di negara ini.

Masjid Negara yang terletak di tengah-tengah ibu kota, menyaksikan kira-kira 4,000 jemaah berlumba-lumba mengejar pahala membaca kitab suci itu selepas dipilih sebagai lokasi penganjuran perdana program yang diadakan serentak di 5,193 lokasi seluruh negara.

Jemaah terdiri pelbagai peringkat usia dengan yang paling muda berusia lima tahun hadir di Masjid Negara bersama-sama mengalunkan kalimat al-Quran disusuli aktiviti tadabbur iaitu penghayatan terhadap ayat al-Quran untuk difahami maksud, hikmah dan pengajarannya.

Warga emas dengan kadar penglihatan yang terhad menggunakan al-Quran bersaiz besar turut tekun dan bersemangat membaca al-Quran dengan penuh penghayatan.

Kelibat sembilan kanak-kanak Tadika Maahad Sains al-Quran Al-Amin Bandar Sunway, walaupun ada antaranya yang masih belajar Iqra turut hadir memeriahkan majlis ilmu berkenaan yang disertai penuntut universiti, anggota keselamatan, pelajar maahad tahfiz dan warga asing.

Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Sains Al-Quran Al-Amin Bandar Sunway Siti Asiah Abdullah berkata beliau membawa 50 pelajar bersamanya termasuk murid tadika bagi memupuk semangat cintakan al-Quran dan sebagai sebahagian aktiviti pembelajaran luar bilik darjah.

"Untuk majlis ilmu ini saya percaya ada keberkatan, walaupun kanak-kanak ini mendengar ayat suci sambil bermain, namun apa yang mereka dengar itu sedikit sebanyak masuk ke dalam hati mereka, kita mahu mendidik mereka dengan suasana menyayangi kalam Allah ini.

"Untuk peringkat kanak-kanak dan remaja kita kena fahamkan mereka tentang peri pentingnya membaca al-Quran, sebab mereka akan selalu tanya, banyak persoalan, yang paling penting sekali al-Quran ini akan menjadi teman sampai di akhirat," katanya ketika ditemui Bernama.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke program selama sejam anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu yang bermula tepat 12 tengah hari dengan mengangkat surah Al'Jumu'ah sebagai surah pilihan.

Beberapa penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang ditemui turut berbesar hati dapat menghadiri program berkenaan, antaranya Nur Izzah Sholehah, 22, dan Nur Syahirah Ahmad Yusof, 22, yang menyifatkan program sedemikian mampu 'merawat' hati dan menenangkan diri daripada hal duniawi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff berkata panduan daripada surah Al-Jumu'ah menjadi model bagi membina kesatuan dan transformasi sosial ummah yang kuat dan masyarakat seluruh dunia perlu berubah dengan al-Quran sebagai pegangan.

Beliau berkata sejak pelancaran World #Quran Hour pada 2016 dan pelbagai kempen #QuranHour ia telah merekodkan capaian media sosial sehingga 6.62 bilion di 76 negara sehingga tahun lepas.

-- BERNAMA