KUALA LUMPUR:World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menyambut baik keputusan kerajaan yang bersetuju membenarkan program berbentuk mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) dengan pengunjung dihadkan 50 peratus daripada keluasan premis atau jumlah pengunjung sebenar, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Eksekutif WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya yakin keputusan itu adalah perkembangan positif yang amat diharapkan oleh sektor MICE.

"Kami di WTCKL amat gembira dan mengucapkan terima masih kepada kerajaan yang sudi mendengar tuntutan dan harapan agar membenarkan penganjuran program dan majlis termasuk dalam norma baharu sebagaimana beberapa sektor ekonomi yang lain.

"Kita tiada pilihan kecuali menghadapi norma baharu dan strategi baharu bagi memulihkan ekonomi, dan terus bernafas dalam kekangan krisis kesihatan dan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19," katanya di sini pada Sabtu.

BACA: Beberapa sektor dibuka secara berfasa bermula esok - Ismail Sabri

Tambah Irmohizam, langkah itu akan membantu memulihkan ekosistem ekonomi, sekali gus membantu negara dan kesemua pihak berkepentingan yang terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

"Malah saya juga yakin langkah ini akan membantu sektor-sektor lain yang saling berkaitan dengan sektor pelancongan termasuk penganjuran majlis di Malaysia.

"Saya yakin pengumuman keputusan terbaharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2021.

"Selain itu, pendekatan gelembung perjalanan atau travel bubble juga diharap akan disegerakan demi manfaat serantau bagi memastikan imej Malaysia sebagai pusat acara perniagaan dunia yang diyakini," ujarnya.