KUALA LUMPUR: Malaysia berazam untuk melihat pertumbuhan dan peningkatan daya tahan yang seiring dengan komitmen dalam merealisasikan Agenda Bandar Baharu (NUA) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, negara komited untuk membina rumah mampu milik, menyediakan perkhidmatan bandar berkualiti dan mempergiatkan usaha ke arah ekosistem pengurusan sisa yang mampan di Malaysia.

Bercakap pada perasmian Pavilion Malaysia di World Urban Forum 2022 di sini, beliau berkata, Malaysia mahu mempamerkan inisiatif dan pencapaian dalam mempromosi dan melaksanakan pembangunan bandar yang mampan selain membuka ruang pertukaran idea dan amalan terbaik.

"Kami berazam untuk melihat pertumbuhan yang saksama dan peningkatan daya tahan. Kami akan mengimbangi pertumbuhan bandar dengan kemampanan alam sekitar dan keterangkuman dalam usaha kami.

"Inisiatif sedemikian akan menyumbang ke arah mengurus perubahan iklim dan Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan gas rumah hijau sehingga 45 peratus menjelang 2030.

"Memandangkan kadar pembandaran yang tinggi, kami perlu mensasarkan bandar rendah karbon, menerima pakai pendekatan ekonomi bulat dan menggunakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Banyak bandar di Malaysia telah menerima pakai SDG dengan menjalankan program dan inisiatif yang berjaya menangani isu dan cabaran setempat," katanya.

[TERKINI] WUF11 | Pelancaran Pavilion Malaysia

Justeru, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) jelas beliau, telah membangunkan Malaysia Liveability Index dengan tujuan untuk meningkatkan dan meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan.

"Aspirasi teras Malaysia Liveability Index termasuk pembangunan ekonomi yang makmur dan kalis masa depan, penambahbaikan dalam kualiti dan pemuliharaan alam sekitar, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan keluarga, penggunaan tanah dan sumber asli yang mampan, tadbir urus bandar yang cekap, dan infrastruktur dan kemudahan inklusif.

"Malaysia Liveability Index atau ringkasnya iDAM, akan membantu bandar menanda aras tahap kesejahteraan, kualiti hidup dan kebolehdiaman mereka, pada setiap peringkat," tambah Reezal.

Reezal turut berkata, penyertaan kelima berturut-turut Malaysia dalam forum berprestij ini akan menjadi platform kepada perwakilan dari seluruh dunia untuk lebih memahami usaha negara dalam mewujudkan kehidupan yang mampan untuk generasi masa depan.

Malaysia diwakili lebih 200 peserta delegasi daripada lebih 50 agensi dan organisasi kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan.

Turut serta ialah wakil universiti, sektor swasta, profesional dan organisasi masyarakat awam.