KATOWICE: Sebarang perubahan dan tindakan harus bermula dari sekarang walaupun dalam skala kecil bagi mendapatkan hasil dan impak besar ke atas kualiti kehidupan.

Ini termasuklah hal berkaitan pembangunan dan perancangan bandar mampan yang memerlukan kerjasama serta gerak kerja inklusif semua pihak.

Ketua Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim berpendapat, kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum di Malaysia berkenaan bandar mampan sudah bermula sekitar tahun 1990 lagi, dan ia semakin diperkasakan dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Memang dari tahun 1990 pun kita sudah mulakan proses menjadikan bandar kita lebih berdaya huni atau mampan.

"Cuma fragment dan program itu tidak kesampaian kepada hala tuju apa yang kita mahukan.

"Apa yang kita mahukan ialah ke arah menjadikan komuniti tu lebih diperkasakan supaya mereka boleh own the program, boleh sama-sama menjalankan program dan boleh jalankan sendiri.

"Kita buat banyak program kesedaran dan latihan termasuk latihan untuk kanak-kanak sekolah yang kita panggil SDG Camp.

"Kita cuba terangkan apa itu SDG pada mereka dan kita juga cuba nak faham dari sudut persepsi kanak-kanak apa mereka mahu dalam kehidupan akan datang.

"Kita boleh nampak kanak-kanak sekarang mementingkan isu seperti nakkan kawasan lapang, kawasan permainan pun kurang. Mereka harapkan bandar yang lebih selamat dan mereka juga mahukan teknologi.

"Dalam pemikiran mereka, bagaimana teknologi boleh menambah baik daya huni. Isu congestion juga sesuatu yang mereka sebut.

"Jadi kanak-kanak pun memainkan peranan," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI yang bersiaran dari Katowice, Poland, sempena World Urban Forum (WUF2022), pada Selasa.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah negara yang pesat membangun, penambahbaikan yang perlu adalah dari segi keterlibatan dan pemahaman terhadap isu yang menjadi kebimbangan orang ramai.

Ini penting bagi membolehkan penyelesaian yang diberi benar-benar membantu menangani isu tersebut.

WUF merupakan persidangan global yang dimulakan pada 2001 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai platform bagi membincangkan isu pembandaran pesat dan kesannya terhadap komuniti, bandar, ekonomi, perubahan iklim dan polisi.

Malaysia diwakili lebih 200 peserta delegasi, diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.