Kerajaan disaran untuk mewujudkan kaedah pembiayaan melalui sistem wakaf bagi berdepan dengan sebarang krisis ekonomi pada masa akan datang.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpandangan, perkara itu antara langkah penyelesaian jangka panjang yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan dana setiap isi rumah tidak terjejas ketika krisis berlaku.

Beliau yang juga Profesor Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) memberitahu, usaha itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan berupaya untuk melaksanakannya menerusi agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya rasa untuk (penyelesaian) jangka panjang, kita perlu wujud kaedah pembiayaan melalui sistem endowment (wakaf) seperti yang dilaksanakan di Norway.

"Kita berupaya untuk lakukannya kerana kita ada syarikat milik (berkaitan) kerajaan yang boleh jadi penyokong kepada sistem sokongan sosial untuk tangani situasi seperti ini," katanya ketika ditemu bual menerui Buletin AWANI di sini pada Rabu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini memperkenalkan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin, atau Kita Prihatin dengan peruntukan RM10 bilion.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesan pelaksanaan program bantuan seperti Kita Prihatin dengan krisis politik ketika ini, beliau menyifatkan perkara itu amat bagus kepada rakyat.

"Sebenarnya, lagi rapuh kerajaan lagi bagus sebab mereka akan bekerja bersungguh-sungguh dan menunjukkan kemampuan untuk membantu rakyat.

"Ini akan menjadikan mereka lebih berusaha dalam menangani (masalah) dengan lebih ikhlas dan murni," ujarnya.