KUALA LUMPUR: Mewujudkan persekitaran yang beramanah secara dalaman dan luaran adalah penting untuk organisasi bagi memastikan program pemberi maklumat atau 'whistleblower' yang efektif, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata dengan berbuat demikian, organisasi boleh memberi keyakinan dan keselesaan kepada pemberi maklumat, sekali gus menjadikan mereka berasa dilindungi.

"Paling penting ialah rakyat mesti percaya kepada sistem bahawa apa sahaja yang mereka laporkan, tindakan akan diambil. Mereka mesti percaya yang identiti mereka akan dilindungi dan tidak akan ada sebarang tindak balas terhadap mereka.

"Jika mereka tidak percaya (pada sistem) dan mereka tidak akan selamat untuk membangkitkan sebarang isu, maka mereka akan berdiam diri. Mereka tidak akan memberi maklumat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan Kaji Selidik Pemantauan Tatakelakuan Asia Pasifik Deloitte di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia Yee Wing Peng berkata antara 2011 dan 2021, sebanyak 73,545 laporan salah laku telah dibuat kepada agensi penguatkuasaan di Malaysia tetapi hanya 527 pemberi maklumat telah berani ke hadapan membantu siasatan.

Beliau berkata perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sejak setahun lalu apabila beliau bercakap mengenai pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Di peringkat global, beliau berkata berdasarkan laporan Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah, 42 peratus penipuan dikesan melalui 'tips' atau panduan, iaitu kaedah yang paling biasa hampir tiga kali ganda jika dibandingkan dengan audit dalaman (16 peratus).

"Ini menyerlahkan keperluan mendesak dan semakin meningkat bagi kerajaan dan syarikat untuk secara aktif melaksanakan dasar pemberi maklumat yang berkesan kerana ia kekal sebagai pendekatan utama dalam menangani salah laku di tempat kerja.

"Walaupun komitmen perdana menteri untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 adalah satu langkah ke arah yang betul, lebih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan pemberi maklumat dilindungi daripada tindakan balas dan diskriminasi sambil menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti," tambahnya.

Kaji selidik itu mendapat maklum balas daripada lebih 500 organisasi di seluruh rantau Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, China dan Asia Tenggara.

Ia menunjukkan pemberi maklumat telah berkembang melangkaui pengesanan penipuan dan salah laku tradisional untuk memacu budaya korporat yang lebih baik dan memupuk persekitaran kerja yang positif.

Sebagai respons kepada evolusi ini, organisasi perlu menyelaraskan keutamaan mereka dengan pihak-pihak berkepentingan, bagi menangani kebimbangan pekerja dan melaksanakan metrik yang sesuai untuk mengukur kejayaan strategi pemberi maklumat dan memastikan keberkesanan rangka kerja pemberi maklumat mereka.

-- BERNAMA