Video-video berkenaan mengetengahkan Said Faleeq Mohd Fareez, Kimi Ng Yee Bin, Krishan Ganapathy and Dayna Leia Soliano Rozells sebagai anak-anak Malaysia yang mewakili perbezaan agama dan bangsa di negara ini.
Rayuan anak-anak kecil dengan tulus memohon kepada Tuhan agar diri mereka dijauhkan daripada terlibat dengan najis rasuah dan mereka menyedari bahawa bahaya serta hukuman yang menanti akibat perbuatan keji tersebut amat besar dipaparkan dalam video empat bahasa itu.
Kesedaran yang ingin dipupuk melalui video itu bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan akan tetapi membawa erti supaya kemerdekaan itu perlu berterusan diisi dengan jiwa yang suci dan bebas daripada gejala rasuah.
Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub menjelaskan, video yang menampilkan kanak-kanak itu walaupun santai tetapi memberi mesej yang jelas bahawa rasuah ditolak oleh semua agama.
"Rasuah juga merupakan sesuatu yang jijik dan anak-anak kita tidak mahu dibesarkan dengan najis rasuah, duit haram hasil rezeki yang kotor.
"Mereka adalah anak-anak kecil yang masih suci dan kita tidak patut membiarkan mereka dan masa depan mereka ditenggelami dunia rasuah kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab pada hari ini.
“Saya berharap sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka kita kongsikan video-video ini seluas-luasnya kerana kita inginkan anak-anak kita terdidik sejak kecil bahawa rasuah itu salah, hina dan perlu dijauhi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, karakter rasuah yang terbina sekian lama begitu sistemik dan kolektif menyebabkan cabaran menanganinya amat besar.
Justeru katanya, #RasuahBusters menyeru seluruh rakyat agar bangkit membina #MalaysiaTanpaRasuah dengan menghayati kembali semangat Rukun Negara dengan membebaskan diri daripada penjajahan rasuah sebagai batu asasnya.
Hussamuddin berkata, kestabilan dan demokrasi negara ini dengan sendirinya akan dapat dipulihkan jika setiap rakyat dan pemimpin kembali mengamalkan ajaran agama yang betul dan berusaha untuk hidup secara harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.
Tonton video:
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Hubungi 019-2802080 untuk bergabung sebagai #RasuahBusters atau hantarkan email kepada [email protected] untuk sebarang aduan.
#RasuahBusters
#NilaiMoralKarakterBangsa
#SinarUntukMalaysia