"Yang Berhormat, jangan lari..." - Pesanan Agong cuit hati Ahli Parlimen

Azyyati Ahmad
Julai 17, 2018 04:52 MYT
Sultan Muhammad V bertitah susulan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini membuat seluruh Dewan Rakyat ketawa besar apabila memulakan ucapan dengan pesanan yang mencuit hati.
Baginda dengan nada berseloroh mengingatkan para Ahli Parlimen supaya "tidak lari" dari tempat duduk masing-masing.
"Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lari," titah Baginda tersenyum sebelum duduk sebaik berangkat ke dalam Dewan Rakyat.
Pesanan berkenaan dipercayai susulan tindakan pembangkang keluar dewan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 pada Isnin bagi membantah pelantikan Speaker Dewan Rakyat.
BACA: Baru 10 minit, Dewan Rakyat sudah kecoh
Terdahulu, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen.
Keberangkatan tiba Baginda pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen, disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menyambut keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
#Dewan Rakyat #Parlimen #Sultan Muhammad V #Yang di-Pertuan Agong