Santapan ulam setiap hari menjadi rahsia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah nampak muda dan sentiasa kacak.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, hidangan ulam menjadi sajian wajib dan ramuan sesiapa untuk kekal menjadi awet muda.

"Ulam ulaman saya kongsi di sini, Tuanku Agong setiap hari kalau bersantap mesti ada ulam, kalau tidak ada ulam, tidak sah. Tuanku selalu bertitah, dia hensem sebab dia makam ulam, Tuanku memang cerita dekat semua orang.

"Tuanku kata dia hensem dan nampak muda sebab banyak makan ulam. Siapa hendak awet muda silalah makanlah ulam," katanya semasa bertitah pada pelancaran buku 'Ulam-Ulaman Khazanah Negara dan 1,001 Khasiat, di sini, pada Khamis.

Persediaan buku itu melibatkan beberapa pakar dalam bidang botani dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang terdiri daripada Professor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad, Professor Dr Amin Ismail, Dr Mohd Norfaizal Ghazali, Dr Mohd Firdaus Ismail dan Dr Samsiah Jusih.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 657 jenis ulam-ulaman dikumpul dan dicari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari seluruh negara sejak 2017 untuk menerbitkan buku tersebut.

Jelasnya, khidmat nasihat dan rujukan daripada pakar di dalam bidang botani menjadikan buku itu sesuai untuk dijadikan rujukan dan penduan mengenai cara penggunaan ulam dan khasiatnya.

Apabila minat, kesedaran dan pengetahuan mengenai khasiat ulam-ulaman dapat ditingkatkan di kalangan rakyat, permintaan terhadap ulam-ulaman tempatan juga turut dapat ditingkatkan.

"Keadaan ini memungkinkan ulam-ulaman tempatan berpotensi menjadi salah satu sumber kekayaan baharu yang boleh diteroka dan mewujudkan peluang yang besar untuk usahawan-usahawan menceburkan diri dan mengkomersialkan sektor ini," jelasnya.

Katanya, buku itu juga merupakan salah satu dari usaha kerajaan dalam membangunkan industri pertanian dan industri asas tani negara khususnya meningkatkan pendapatan petani yang berkaitan sayur-sayuran dan ulam-ulaman.