PETALING JAYA: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang berdepan kes dadah, masih ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin berkata demikian ketika prosiding kes berlangsung di hadapan Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga masih belum menerima laporan psikiatri pelantun lagu 'Mimpi Laila' itu daripada pihak hospital.

"Ketika prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan Khamis untuk keputusan laporan berkenaan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa ia dalam proses untuk disiapkan.

"Susulan itu, saya memohon agar mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes berhubung perkara tersebut," katanya.

Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili penyanyi berusia 48 tahun itu mengesahkan, pihak pembelaan telah dimaklumkan mengenai perkara yang sama.

"Mengikut undang-undang, pihak hospital mempunyai masa maksimum dua bulan untuk menyediakan perincian tahap kesihatan Muhammad Yasin dan kami tidak membantah sekiranya tarikh lain ditetapkan untuk sebutan kes seterusnya," katanya.

Nik Nasimah kemudiannya menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan kes bagi status kesihatan bapa kepada dua anak itu.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. -- Sinar Harian