KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah individu, kemerdekaan bukan hanya bermaksud kebebasan negara daripada penjajahan, tetapi juga cara seseorang menjalani dan menghargai kehidupan.
Untuk artis multidisiplin Norhayati Kaprawi, beliau menterjemahkan pengertian itu menerusi 15 karya seni yang dipamerkan pada Pesta Puan-Tastic bersempena dengan Bulan Kebangsaan di kompleks beli-belah komuniti kreatif GMBB pada 14 dan 15 Ogos lepas.
Sebagai aktivis hak wanita, beliau yang lebih dikenali sebagai Yati Kaprawi, 60, melihat kemerdekaan daripada dua sisi utama, iaitu kebebasan sesebuah negara dan kebebasan peribadi wanita untuk menjalani hidup merdeka daripada tekanan dan gangguan serta memiliki ruang dan masa untuk diri sendiri.
“Bagi wanita, kita biasanya ada double burden, bekerja bukan sahaja di pejabat tetapi juga di rumah.
“Jadi wanita perlu ada masa untuk diri sendiri dan berasa selamat apabila berada di ruang awam tanpa takut diganggu atau dikacau. Bagi saya, itu personal freedom yang sangat bernilai,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang turut menghasilkan filem dokumentari dan animasi berkata separuh daripada karyanya itu mengetengahkan tokoh wanita, berasaskan penyelidikan tokoh akademik, pakar antropologi sosial dan aktivis wanita Dr Rusaslina Idrus.
Katanya, Dr Rusaslina merupakan antara pengasas bersama projek digital Sejarah Wanita pada 2012 yang bertujuan mendokumentasikan, memelihara dan mengangkat kisah wanita yang sering terlepas daripada catatan sejarah arus perdana di Malaysia.
“Cabaran terbesar saya bukan sekadar menghasilkan imej, tetapi memilih satu detik atau elemen yang mampu mewakili perjalanan hidup seseorang tokoh kerana sejarahnya sangat kaya, selain memastikan visual yang dipilih dapat menyampaikan cerita, dan pada masa sama menarik perhatian orang,” katanya.
Memilih teknik seni cetak atau printmaking, khususnya block printing, Yati berkata pemilihan medium itu didorong keinginannya untuk melihat lebih ramai artis wanita terus aktif dalam bidang berkenaan.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata pameran seni juga boleh menjadi medium pendidikan umum, khususnya untuk generasi muda yang mungkin kurang mengenali tokoh wanita yang turut memainkan peranan dalam perjalanan sejarah negara.
Beliau berharap pameran seumpama itu dapat mendorong golongan muda mendekati sejarah dan memahami bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukan sesuatu yang diperoleh dengan mudah.
Menurutnya, kefahaman terhadap pengorbanan generasi terdahulu penting supaya masyarakat lebih menghargai jasa-jasa hebat wanita dalam pembentukan Malaysia dan keharmonian negara serta tidak mensia-siakan kemerdekaan dengan tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan, terutamanya antara kaum.
Tambahnya, dalam era teknologi yang membolehkan maklumat tersebar dengan pantas, masyarakat juga perlu menilai sesuatu maklumat dari pelbagai sudut dan tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau hasutan.
Setiap karya yang dipamerkan dijual pada harga RM1,000 ke atas, manakala hasil jualan sepanjang pameran dua hari itu disalurkan kepada dana SIS Forum (Malaysia).
-- BERNAMA