Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini merasmikan pembukaan mesyuarat penggal pertama Majlis Parlimen ke-13 susulan pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Ketibaan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di Dataran Parlimen pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Turut menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah 'Hormat Diraja', menggantikan upacara pemeriksaan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, berikutan masalah jerebu.

Upacara itu diteruskan dengan lagu 'Negaraku' yang dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi, diikuti 21 das tembakan meriam.

Keadaan dewan yang kecil tidak memungkinkan acara pemeriksaan kawalan kehormat melibatkan 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama RAMD Kem Sungai Besi diadakan.

Tepat 10.50 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri kabinet dan perwakilan asing.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 16 hari hingga 18 Julai, diikuti sidang Dewan Negara, dari 22 Julai hingga 1 Ogos 2013.