KUALA LUMPUR: Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) bercadang menubuhkan sebuah sekolah Islam antarabangsa pertama di negeri tersebut dengan berpandukan konsep sama seperti The International Modern Arabic School (IMAS) di Putrajaya.

Pengurus Besarnya, Mohd Fitri Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah memberi sebidang tanah di Sungai Ara untuk dibangunkan institusi pendidikan yang akan merangkumi Sekolah Islam Antarabangsa dan pusat perniagaan berkaitan pendidikan.

Tambah beliau, dengan termeterainya memorandum persefahaman antara YIPP dan IMAS, ia akan membolehkan usaha pembangunan dimulakan selepas ini.

“Sekolah Islam Antarabangsa merupakan sekolah yang mengaplikasikan silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang merupakan kelayakan yang diiktiraf oleh United Kingdom.

“Uniknya pengajian akan ditawarkan Sekolah Islam Antarabangsa di Pulau Pinang ini adalah gabungan sukatan pelajaran yang bertaraf antarabangsa dan pendidikan Islam yang merangkumi al-Quran dan pengajian Syariah Islamiyah.

“Bahasa utama yang akan digunakan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Untuk pengetahuan, IGCSE dibangunkan oleh Universiti Cambridge kini telah digunakan seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: YIPP gerakkan usaha pastikan pelajar tahfiz duduki peperiksaan SPM

Tambah beliau, Pulau Pinang telah menarik minat pelbagai operator sekolah antarabangsa dan sehingga kini dianggarkan lebih daripada 10 buah sekolah antarabangsa beroperasi di negeri berkenaan.

Jelasnya, situasi itu menunjukan potensi besar dalam bidang pendidikan bertaraf  antarabangsa di Pulau Pinang dan YIPP melihat perkembangan itu merupakan peluang dan potensi yang sangat baik untuk diteroka.

“YIPP percaya dan yakin usaha itu tidak terhad kepada penduduk Pulau Pinang malah menjangkau penduduk utara tanah air dan luar negara untuk mengikuti pengalaman pendidikan Islam bertaraf antarabangsa dengan silibus diiktiraf dunia,” ujarnya.

Media pada Selasa melaporkan YIPP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan Alnoor yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Waleed Almuallimi.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengerusi YIPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak bertukar kepakaran dalam bidang pendidikan dan pembelajaran terutamanya dalam pendidikan Islam dan Bahasa Arab.