JITRA: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB, khusus untuk pelajar luar bandar tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program tersebut dilaksanakan di 60 pusat tuisyen terpilih di seluruh negara dengan penglibatan seramai 6,000 pelajar.

"Usaha ini bagi memastikan pelajar luar bandar tidak keciciran dan mendapat akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik terbaik.

"Tuisyen ini kita berikan secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia khususnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang mempunyai tahap penguasaan akademik sederhana dan lemah", katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Mas Rizal Mohd Hilmi pada majlis pelancaran program tuisyen tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM Mohd Amran Mohd Ariffin.

Tuisyen Pintar YPM @KPLB merupakan program tanggungjawab sosial korporat YPM dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang dilantik sebagai penyelaras bersama.

Mahdzir berkata sejak dilaksanakan pada 2016, program tersebut telah memanfaatkan 80,581 pelajar luar bandar dan telah berjaya meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

Beliau berkata setiap pusat tuisyen akan disertai 100 pelajar yang akan mendapat bimbingan terus daripada guru berkelayakan daripada kementerian atau MARA yang dikenal pasti oleh PPD.

"Mereka akan diajar teknik pembelajaran, menjawab soalan dan sesi motivasi bersama pelajar serta ibu bapa.

"Dengan kejayaan Program Tuisyen Pintar tahun-tahun sebelum ini, kita telah mendapat perhatian daripada syarikat korporat yang menyatakan hasrat untuk tajaan bagi 2022," katanya menambah antara syarikat yang telah menyatakan persetujuan termasuk Maybank Islamic Bhd, Celcom Axiata Bhd, Yayasan Khazanah, Gas Malaysia Bhd dan Ambank Islamic.

Beliau berkata YPM sentiasa membuka peluang kepada syarikat korporat, agensi luar serta individu untuk bersama-sama membantu dalam pembangunan pendidikan khususnya kepada pelajar luar bandar.

-- BERNAMA