KUALA LUMPUR: Musyawarah Nasional yang berlangsung di ibu negara pada Ahad tidak akan berakhir sebagai medan wacana atau luahan keresahan semata‑mata, sebaliknya akan diterjemahkan kepada tindakan dasar melalui saluran rasmi kerajaan, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, peranan sekretariat tetap Musyawarah Nasional bukan sekadar menghimpunkan dapatan kajian dan resolusi, malah kerajaan akan memastikan syor yang dikemukakan disusuli pelaksanaan yang tersusun.
“Saya bukan hanya akan membawa resolusi ini ke Jemaah Menteri, tetapi akan memastikan koordinasi dengan kementerian, jabatan, agensi serta rakan‑rakan dalam kerajaan termasuk GLC bagi melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas penutupan Musyawarah Nasional.
Terdahulu, Musyawarah Nasional yang menghimpunkan pemimpin Melayu dan Islam daripada pelbagai lapisan itu mendengar pembentangan dan cadangan daripada pengerusi‑pengerusi teras, merangkumi agama Islam dan Institusi Raja‑Raja Melayu, ekonomi, politik, sosial serta pendidikan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Musyawarah Nasional bukan agenda sempit atau bersifat perkauman, sebaliknya bersifat nasional dan berpaksikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Agenda ini bukan menafikan mana‑mana kaum atau agama. Apa yang dibincangkan adalah terjemahan Perkara 153 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan sebahagian daripada kontrak sosial negara,” katanya.
Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan, beliau memaklumkan setiap teras utama akan membuat pembentangan lanjut secara berkala, dengan satu teras diperincikan setiap dua bulan.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan keseluruhan kerangka pelaksanaan dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun hadapan, selain mewujudkan mekanisme pemantauan untuk menilai prestasi dan keberkesanan syor yang dikemukakan.
Ahmad Zahid turut mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan penyediaan pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dalam tempoh tiga bulan, namun beliau memberi jaminan pindaan berkaitan akan dibentangkan dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata, pengukuhan aspek perundangan termasuk pindaan Akta MARA bertujuan memastikan institusi itu kekal di landasan asal dan tidak terjejas oleh perubahan kepimpinan atau pertukaran kerajaan.
“Undang‑undang ini perlu menjadi asas kekal, bukan sekadar garis panduan, supaya hala tuju tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran menteri, pengerusi atau kerajaan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, kejayaan Musyawarah Nasional tidak akan diukur berdasarkan jumlah resolusi yang dibentangkan, sebaliknya sejauh mana keberanian kolektif itu mampu diterjemahkan kepada dasar yang berfungsi, berkesan dan berkekalan.