KUALA LUMPUR: Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff menegaskan anak guamnya, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu tidak melarikan diri.
Sehubungan itu, Muhammad Hariz menegaskan, kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada 13 Mac lalu yang mendakwa Zamri Vinoth berada di luar negara adalah tidak tepat.
Advertisement
Menurut Muhammad Hariz, berdasarkan rekod pasport antarabangsa Zamri Vinoth, anak guamnya itu berada di Thailand pada 9 Mac dan pulang ke Malaysia pada 12 Mac lalu atas urusan pekerjaan.
“Anak guam kami tidak pernah melarikan diri ke mana-mana dan hari ini membuktikan anak guam kami memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya semasa sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, Zamri Vinoth yang juga Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] di Mahkamah Majistret Jenayah 9 berkaitan sebuah hantaran di Facebook rasminya.
Menurut kertas pertuduhan, hantaran tersebut berpotensi menimbulkan kegentaran awam dan mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Bagaimanapun, Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 April bagi penyerahan dokumen.
Pada masa sama, Hariz turut mempersoal mengapa Zamri Vinoth hadir ke mahkamah dalam keadaan bergari, sedangkan aktivis Arun Dorasamy yang didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini, tidak dikenakan gari.
Beliau, dalam masa sama turut mempersoal mengapa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran turut hadir mengiringi Arun.
“Ingin kami zahirkan pendirian anak guam kami bahawa seseorang yang dituduh itu seharusnya dan sehendaknya melalui proses yang adil… ia memberi kesan, implikasi seolah-olah pihak eksekutif memberi sokongan kepada perlakuan jenayah,” katanya lagi.
Difahamkan, Kulasegaran menemani Arun sehingga ke kamar mahkamah dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada jam 8.50 pagi.
Sementara itu, Zamri Vinoth berharap agar isu yang dibangkitkan oleh pihaknya dapat diselesaikan dengan cara yang aman.
“Kalau ada bab ke arah perdamaian sebenarnya itu jauh lebih bagus demi kebaikan Malaysia dan Insya-Allah dalam masa yang sama kita perlu selesaikan masalah,” katanya.