ewfedwd.jpg
Boleh Zero imbas kisah almarhum pak sebelum dia menghembus nafas terakhir?

Atu: Maaf kak yang ini saya tak boleh cerita (sebak, Atu diam berjurus lamanya). Sewaktu pak meninggal dunia, Atu tiada bersamanya (diam lagi, sebak, mahu menangis). Selepas show di Kuantan, Atu ke Johor Bahru kerana mengikut Ajak Shiro tidur di rumahnya. Waktu itu, Atu sibuk bersiap untuk program TV Fear Factor yang dirakamkan di Afrika. Lebih kurang pukul lima pagi, Atu terima berita itu daripada Sharif. Perjalanan pulang ke Kudat terasa jauh. Ya, jauh sekali kak, seperti tidak sampai-sampai (diam lagi, nafasnya menahan sebak). Dari Johor Bahru, Atu menaiki pesawat untuk ke KLIA. Dari KLIA, Atu terus ke Kota Kinabalu, dari Kota Kinabalu, harus pula naik angkutan tiga jam untuk ke Kudat. Sewaktu Atu tiba di halaman rumah, hari sudah gelap. Majlis pengebumian sudah pun selesai (sebak menahan esak).

Sharif: Arwah tidak boleh bercakap semenjak umur 12 tahun kerana demam campak. Dia meninggal dunia pada 21 Oktober 2012. Saya masih ingat lagi, petang itu, kami sekeluarga menonton TV di rumah. Bapak pula sibuk memasak. Kalau kalian mahu tahu, arwah memang suka dan pandai memasak. Jadi hari itu dia memasak seekor ikan tongkol besar, kak. Tapi yang anehnya, dia menghiris dan memasak sebelah ikan saja. Yang sebelah lagi, disimpan di dalam peti ais di rumah mak cik (sebelah rumah).

Selesai memasak, bapak menyuruh kami makan lantas dia bersiap-siap untuk mengerjakan solat Asar di surau. Selesai Asar, bapak pulang ke rumah, lalu menidurkan adik bongsu (Fikri, lima tahun) di buaian pukat di bawah rumah. Lama juga dia membuaikan adik, sampailah adik betul-betul terlelap. Hati saya sudah rasa tidak berapa sedap waktu itu, kak. Tapi mengapa ya? Kemudian, arwah keluar semula membeli pisang, menjamu budak-budak kecil yang bermain di halaman rumah kami dengan pisang tadi. Tidak lama selepas itu, kawan baiknya (juga bisu dan pekak) dari Kampung Sikuati datang menjemput. Memang kebiasaan arwah tidur di rumah kawan baiknya itu sekali-sekala. Tetapi pesanannya petang itu sebelum menaiki motosikal kawannya masih terngiang-ngiang di telinga saya: “Kalau Maghrib nanti, kejutkan adik kau,” kata bapak, kemudian pesannya lagi, “Ikan lagi separuh ada di peti ais rumah mak cik kau. Nanti jangan lupa ambil, masak untuk makan esok.” Lalu kelibat arwah di boncengan motosikal terus lenyap dari pandangan saya. Hati saya seperti jatuh. Apakah petanda ini?

Malam itu, saya betul-betul rasa tidak sedap hati. Jantung berdebar-debar. Sungguh kak, saya tidak boleh tidur malam itu. Hujan turun dengan lebatnya. Kilat sabung-menyabung. Sekitar jam satu pagi, hujan reda dan sekonyong-konyong pintu kayu rumah kami diketuk digoncang dengan kuatnya. Kawan bapak berdiri di depan pintu dengan wajah pucat dan mata nan sedih. Dalam bahasa isyarat dan mimic muka cemas, dia memberitahu bahawa di rumahnya, bapak tidak bergerak lagi meski sudah dikejutkan beberapa kali.

Allah!

Saya berlari meminjam kereta bapa mentua, kami redah langit pekat dalam ilam-ilam cahaya bulan, tiba di Kampung Sikuati jam 1.30 pagi. Alangkah hancurnya hati saya melihat dari pintu bilik yang luas terbuka, arwah pak terlentang terkedang di atas tilam. Pak sudah kaku. Inak dan Melati teresak. Saya bingung. Tangisan tidak terkeluar. “Kenapa dengan bapak?” Tanya adik Fikri polos, tidak mengerti.

“Bapak sakit,” saya menjawab, dengan fikiran kosong, sekosong-kosongnya. Sungguh sedih. Takdirnya pula kami sekeluarga ketiadaan wang yang cukup untuk mengurusi jenazah bapak. Tetapi syukur ramai kawan artis yang dermawan. Insan pertama menderma adalah Abang Ebby Yus, kemudian Ajak Shiro, saudara-mara. Ramai lagi teman artis yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu nama mereka di sini. Terima kasih atas budi bakti kalian. Betapa ini hutang jasa, hutang harta. Semoga Allah membalas kalian dengan kemurahan rezeki yang melimpah-ruah.