MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14 Zhao Leji meluangkan masa hampir dua jam mengunjungi Jonker Street yang menjadi antara lokasi tarikan utama pelancong di Melaka.

Dalam lawatannya, Zhao diiringi antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong dan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street Datuk Gan Tian Loo, melawat beberapa tempat tarikan pelancong yang terdapat di sekitar Jonker Street.

Beliau jelas dilihat cukup teruja semasa mengunjungi beberapa lokasi di sini, antaranya Laman Datuk Wira Gan Boon Leong, Taman Warisan Dunia Jonker Walk dan Muzium Cheng Ho.

Lawatan beliau turut diraikan dengan persembahan alunan muzik tradisional daripada beberapa ahli persatuan kebudayaan serta tarian singa yang diadakan sepanjang jalan dan di pentas utama Jonker Walk.

Tidak ketinggalan Zhao turut menerima cenderahati unik dari Gan iaitu botol yang berisi pasir dari dasar Selat Melaka dan air dari Perigi Hang Li Po di Bukit Cina.

Kehadiran Zhao dan delegasi dari China itu turut menarik perhatian pelancong yang berada di situ malah beberapa pelancong dari China yang sedang melawat kawasan berkenaan turut teruja melihat pemimpin ketiga tertinggi di negara mereka itu.

Zhao kemudiannya melawat Muzium Kesenian Baba dan Nyonya sebelum bergerak ke Masjid Selat.

Di Masjid Selat, Zhao meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk mendengar penerangan daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkenaan keunikan Selat Melaka yang menjadi laluan perdagangan sejak ribuan tahun dahulu.

-- BERNAMA