Ziarah MADANI sempena Tahun Baharu Cina perkukuh keprihatinan kerajaan

Ahmad Farhan (kanan) menyantuni masyarakat Cina di sekitar kawasan Bukit Setongkol, Chenderawasih, Bukit Sekilau, Air Putih dan Kampung Padang.
KUANTAN: Program Ziarah MADANI sempena ambang sambutan Tahun Baharu Cina mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan tanpa mengira kaum dan agama.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, program yang dilaksanakan minggu lalu itu bertujuan mendekati masyarakat Cina di Parlimen Indera Mahkota serta mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, sebanyak 10 rumah penerima berdaftar e-Kasih di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu diziarahi, melibatkan kawasan Bukit Setongkol, Chenderawasih, Bukit Sekilau, Air Putih dan Kampung Padang.
“Program ini memberi ruang untuk interaksi secara langsung dengan keluarga terlibat, khususnya bagi memahami cabaran berkaitan kos sara hidup, kesihatan dan kebajikan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial hari ini.
Beliau berkata, setiap keluarga menerima sumbangan RM500 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
Program itu turut disertai Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Pahang (ICU JPM Pahang) yang diketuai Pengarah Pembangunan Negeri Pahang Datuk Razihan Adzharuddin, ADUN Semambu Chan Chun Kuang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan bancian dan mengenal pasti potensi bantuan susulan.
Ahmad Farhan berkata, inisiatif Ziarah MADANI selari dengan pendekatan tadbir urus berteraskan ihsan, empati dan keadilan sosial, selain memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


